Friday, 18 November 2011

Harimau Muda tunjuk kejaguhan


JAKARTA – Panas, dramatik dan penuh mendebarkan!
Itu yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi yang menyaksikan Harimau Muda berjaya membenam ego Indonesia hasil kemenangan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Muda mara ke saingan separuh akhir apabila mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul sepuluh mata – satu mata di hadapan Indonesia yang turut menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada temasya kali ini.
Namun yang paling mencuri tumpuan pada aksi malam tadi ialah apabila jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee diarahkan meninggalkan bangku simpanan pemain pada minit ke-68 selepas beliau didakwa mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Fahad Alkassar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Tampil di hadapan hampir 100,000 penyokong fanatik Indonesia, Kim Swee menurunkan kesebelasan terbaiknya dengan Mahali Jasuli, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar terus diberi kepercayaan berada di benteng pertahanan, manakala Khairul Fahmi Che Mat kekal menjaga gawang Harimau Muda.
Bahagian tengah pula dijana kapten Baddrol Bakhtiar sambil dibantu empat pemain – Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Fandi Othman, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Muhd. Nazmi Faiz Mansor sementara Izzaq Faris Ramlan bergerak solo di jentera serangan.
Sang Garuda Muda pula tidak menurunkan beberapa tonggak utamanya dalam kesebelasan utama seperti penggempur berbisa, Patrich Wanggai dan Octovianus Maniani.
Seawal minit keempat, Baddrol terlebih dahulu menguji benteng Sang Garuda Muda yang diterajui penjaga gol, Andritany Ardhiyasa. Bagaimanapun, rembatan Baddrol dari luar kotak penalti berjaya dinafikan Andritany.
Ketika perlawanan baru memasuki minit ke-14, pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan dan tempatnya digantikan oleh Syahrul Azwari Ibrahim.

No comments:

Post a Comment