Friday, 18 November 2011

Harimau Muda tunjuk kejaguhan


JAKARTA – Panas, dramatik dan penuh mendebarkan!
Itu yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi yang menyaksikan Harimau Muda berjaya membenam ego Indonesia hasil kemenangan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Muda mara ke saingan separuh akhir apabila mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul sepuluh mata – satu mata di hadapan Indonesia yang turut menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada temasya kali ini.
Namun yang paling mencuri tumpuan pada aksi malam tadi ialah apabila jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee diarahkan meninggalkan bangku simpanan pemain pada minit ke-68 selepas beliau didakwa mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Fahad Alkassar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Tampil di hadapan hampir 100,000 penyokong fanatik Indonesia, Kim Swee menurunkan kesebelasan terbaiknya dengan Mahali Jasuli, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar terus diberi kepercayaan berada di benteng pertahanan, manakala Khairul Fahmi Che Mat kekal menjaga gawang Harimau Muda.
Bahagian tengah pula dijana kapten Baddrol Bakhtiar sambil dibantu empat pemain – Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Fandi Othman, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Muhd. Nazmi Faiz Mansor sementara Izzaq Faris Ramlan bergerak solo di jentera serangan.
Sang Garuda Muda pula tidak menurunkan beberapa tonggak utamanya dalam kesebelasan utama seperti penggempur berbisa, Patrich Wanggai dan Octovianus Maniani.
Seawal minit keempat, Baddrol terlebih dahulu menguji benteng Sang Garuda Muda yang diterajui penjaga gol, Andritany Ardhiyasa. Bagaimanapun, rembatan Baddrol dari luar kotak penalti berjaya dinafikan Andritany.
Ketika perlawanan baru memasuki minit ke-14, pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan dan tempatnya digantikan oleh Syahrul Azwari Ibrahim.

Thursday, 3 November 2011

Tahan kritikan

WALAUPUN peserta-peserta MasterChef Malaysia yang mengambil bahagian terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan yang menarik dan menyelerakan.
Cuma satu yang membezakan mereka iaitu rasa sesuatu makanan yang dimasak sama ada menepati selera juri mahupun gaya persembahan makanan yang disediakan dapat memikat hati juri. Bukan mudah tetapi itulah ciri-ciri utama untuk mencari seseorang yang boleh digelar sebagai MasterChef Malaysia.
Mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu, seramai 40 orang peserta terpilih menyertai pertandingan MasterChef Malaysia. Kini, setelah ia ditayangkan selama dua minggu, tinggal 24 orang peserta yang masih tinggal.
Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, para peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh masa tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap yang diinginkan juri-juri MasterChef Malaysia, mereka akan dikritik teruk.
"Bukan tujuan menghina masakan mereka, tetapi komen tersebut dibuat supaya mereka tidak lalai apabila sudah lama berada dalam pertandingan ini. Kita kena beri komen membina kepada mereka dan beri pendedahan awal kepada mereka mengenai dunia kulinari sebenar," kata salah seorang juri program realiti masakan ini, Mohd. Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo ketika dihubungi Kosmo!.

Hampir 2.5 juta jemaah sudah tiba di Mekah


MEKAH - Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan hampir 2.5 juta jemaah islam telah berhimpun di bandar ini sebelum ibadat haji yang berlangsung selama lima hari.
Musim haji itu akan bermula pada Sabtu ini.
Pihak berkuasa telah menggerakkan kira-kira 100,000 anggota keselamatan dan pertahanan awam bagi memastikan kelancaran musim haji bagi mengelak insiden kematian.
"Kami akan menggerakkan semua cara untuk menghalang sebarang kerosakan ke atas jemaah atau terhadap mana-mana kumpulan jemaah," kata Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef bin Abdul Aziz.
Beliau dilantik menjadi Putera Mahkota pada Selasa lalu.
Putera Nayef membuat kenyataan itu semasa melakukan pemeriksaan ke atas persediaan musim haji kelmarin. - Agensi